Saya kongsi peristiwa ini untuk dijadikan renungan bersama..
Seorang lelaki datang menemui Imam Syafie mengadukan tentang kesempitan
hidup yang dia alami. Dia memberitahu bahawa dia bekerja sebagai orang
upahan dengan gaji sebanyak 5 dirham. Dan gaji itu tidak mencukupi
untuknya.
Namun anehnya, Imam Syafie langsung menyuruh dia untuk
menemui orang yang mengupahnya supaya mengurangkan gajinya menjadi 4
dirham. Lelaki itu pergi melaksanakan perintah Imam Syafie sekalipun dia
tidak faham apa maksud dari suruhan itu.
Setelah berlalu
beberapa lama lelaki itu datang kembali menemui Imam Syafie mengadukan
tentang kehidupannya yang tidak ada kemajuan. Lalu Imam Syafie
memerintahkannya untuk kembali menemui orang yang mengupahnya dan minta
untuk mengurangkan lagi gajinya menjadi 3 dirham. Lelaki itupun pergi
melaksanakan anjuran Imam Syafie dengan perasaan sangat hairan.
Setelah berlalu sekian hari lelaki itu kembali lagi menemui Imam Syafie
dan berterima kasih atas nasihatnya. Dia menceritakan bahawa wang 3
dirham itu dapat mencukupkan semua keperluan hidupnya, bahkan hidupnya
menjadi lapang. Dia menanyakan apa rahsia di sebalik semua itu?
Imam Syafie menjelaskan bahawa pekerjaan yang dia jalani itu tidak
berhak mendapatkan upah lebih dari 3 dirham. Dan kelebihan 2 dirham itu
telah mencabut keberkatan harta yang dia miliki ketika bercampur
dengannya.
Lalu Imam Syafie membacakan sebuah sya'ir:
جمع الحرام على الحلال ليكثره
دخل الحرام على الحلال فبعثره
Dia kumpulkan yang haram dengan yang halal supaya ia menjadi banyak.
Yang haram pun masuk ke dalam yang halal lalu ia merosakkannya.
_____
Barangkali kisah ini dapat menjadi pelajaran yang sangat berharga bagi
kita dalam kehidupan harian. Jangan terlalu berharap gaji besar bila
pekerjaan kita hanya sederhana. Dan jangan berbangga mendapat gaji
besar, padahal kerjabuat kita sangat lemah atau tidak seimbang dengan
gaji yang diterima.
Bila gaji yang kita terima tidak seimbang
dengan kerja, ertinya kita sudah menerima harta yang bukan hak kita. Itu
semua akan menjadi penghalang keberkatan harta yang ada, dan
mengakibatkan hisab yang berat di akhirat kelak.
Harta yang tidak
berkat akan mendatangkan permasalahan hidup yang membuat kita susah,
sekalipun bertaburkan benda-benda mewah dan serba lengkap. Wang banyak
di bank tapi setiap hari bergaduh dengan isteri. Anak-anak tidak
mendatangkan kebahagiaan. Dengan teman dan jiran sekeliling tidak
sehaluan.
Kendaraan selalu bermasalah. Ketaatan kepada Allah
semakin hari semakin melemah. Fikiran hanya dunia dan dunia. Harta dan
harta. Penglihatan selalu kepada orang yang lebih dalam masalah dunia.
Tidak pernah puas, sekalipun mulutnya melantunkan alhamdulillah tiap
minit.
Kening selalu berkerut. Satu persatu penyakit datang
menghampiri. Akhirnya gaji yang besar habis untuk cek up ke hospital dan
periksa ke klinik. Tidak ada yang dapat dibahagikan untuk sedekah,
infak dan amal-amal demi tabung masa depan di akhirat.
Menjalin
silaturrahim dengan sanak keluarga pun tidak. Semakin kelihatan mewah
tapi sifat kedekutnya juga semakin menguasai.
Semoga Allah
mengurniakan kepada kita kemampuan untuk serius dalam bekerja, hingga
rezeki kita menjadi berkat dunia dan akhirat !
Kredit FB : Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani
No comments:
Post a Comment