Al-Quran

Fahami ilmu al-Quran sunnah, elak salah tanggapan ummah
Oleh Shahir Akram Hassan

2012/04/08
TIDAK faham ilmu al-Quran dan sunnah boleh membawa kepada tanggapan ada antara ayat al-Quran bercanggah dengan hadis. Oleh itu, kefahaman ilmu al-Quran dan sunnah satu keperluan untuk mengelak lahirnya salah tanggapan itu.

Kefahaman berkenaan al-Quran dan sunnah perlu dipelajari kerana kedua-duanya berasal daripada satu sumber iaitu Allah SWT, maka adalah mustahil ia bercanggah. Al-Quran diturunkan sebagai petunjuk dan hidayah bagi umat Islam, juga menjawab beberapa persoalan yang membimbing akal untuk diyakini serta diamalkan seperti perkara ghaib, akidah, ketuhanan dan hari akhirat.


Sunnah juga adalah wahyu daripada Allah SWT sama seperti al-Quran. Namun, al-Quran tetap mempunyai banyak keistimewaan kerana al-Quran adalah wahyu lafaz dan maknanya daripada Allah SWT dan dengan membacanya saja sudah dijadikan sebagai ibadat.


Begitu juga dengan persoalan akhlak, al-Quran menetapkan nilai baik dan apakah kelebihannya. Selain itu, al-Quran juga mengandungi persoalan perundangan yang mampu memberi kedamaian kepada masyarakat. 

Wahyu adalah sumber rujukan tertinggi dalam Islam. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah Kitab (al-Quran) yang jelas nyata keterangannya. Dengan (al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaan-Nya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, Dengan izin-Nya, dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.” (Surah al-Maidah, ayat 15-16)
 

Al-Quran adalah petunjuk dan harus diikuti sesiapa yang mahukan keselamatan di dunia mahupun akhirat. Namun, pada masa sama al-Quran tidak dapat difahami dengan lebih terperinci tanpa penerangan dan contoh praktikal iaitu sunnah.


Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Allah menurunkan Kitab (al-Quran) dan hikmah (sunnah) kepadamu dan telah mengajarkan kepadamu apa yang belum engkau ketahui. Kurnia Allah yang dilimpahkan kepadamu sangat besar.” (Surah al-Nisa, ayat 113) 


Nabi SAW menerangkan bahawa sunnah adalah wahyu kurniaan Allah yang sama seperti al-Quran dan adalah penerang kepada al-Quran. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Ketahuilah, sesungguhnya aku diberikan al-Kitab (al-Quran) dan yang sepertinya (al-Sunnah) bersamanya.” (Hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud) 


Sunnah ialah segala perkataan, perbuatan atau taqrir (pengakuan) yang disandarkan kepada Nabi SAW. Walaupun al-Sunnah lahir dari Nabi SAW dan disandarkan kepada Baginda, ia adalah wahyu. 

Perkara ini dijelaskan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Dia (Muhammad) tidak memperkatakan (sesuatu berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala diperkatakannya itu (sama ada al-Quran atau al-Sunnah) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.” (Surah al-Najm, ayat 3-4)
 

Ayat ini menjelaskan segala yang datang daripada Nabi SAW adalah wahyu dan kerana itu segala apa yang disandarkan kepada Baginda sama ada perkataan, perbuatan atau taqrir adalah sunnah dan ia adalah salah satu bentuk wahyu secara tidak langsung.

Sekurang-kurangnya ada enam fungsi sunnah. Pertama, mendatangkan hukum baru yang tidak ada dalam al-Quran sama ada dengan lafaz yang qat’ie (tetap) atau zhonni (banyak makna). Kedua, memperkuatkan hukum yang telah ada dalam al-Quran.
 

Ketiga, menerangkan hukum yang didatangkan oleh al-Quran sebagai tafsir, penghuraian atau pun penerangan. Keempat, al-Sunnah juga boleh memansuhkan (al-Nasikh) hukum yang ada dalam al-Quran. Kelima, al-Sunnah juga boleh memansuhkan hukum yang ada dalam sunnah sebelumnya. Keenam, sunnah boleh menjadi asas kepada hukum yang tidak ada dalam al-Quran.

Dalam erti kata lain, sunnah juga adalah wahyu daripada Allah SWT sama seperti al-Quran. Namun, al-Quran tetap mempunyai banyak keistimewaan kerana al-Quran adalah wahyu lafaz dan maknanya daripada Allah SWT dan dengan membacanya saja sudah dijadikan sebagai ibadat.
 

Sunnah pula, hanya maknanya daripada Allah SAW, sedangkan lafaznya daripada Nabi SAW namun, membacanya tidak dikira sebagai ibadat. Sebab itu al-Sunnah juga dikenali sebagai wahyu yang tidak dikira ibadat membacanya.
 

Wahyu terdiri daripada al-Quran dan sunnah yang kedua-duanya berada pada martabat sama. Ini menjadikan sunnah setaraf dengan al-Quran dari sudut kekuatan penghujahan dan pensyariatannya.